Saturday 9 July 2016

Filled Under:

6 Lokasi Berhantu Lebuhraya Malaysia

Lebuhraya di Malaysia terkenal dengan pelbagai kisah misteri dan seram, terutamanya lebuhraya penghubung utara – selatan. Bagi yang sudah biasa melalui lebuhraya Plus ini, sudah pasti mempunyai pengalaman yang menyeramkan, dan berkongsi cerita tersebut kepada rakan atau saudara-mara, sehinggakan kadang-kadang ceritanya hanya sedikit, tetapi menjadi “boom!” apabila sudah sampai kepada pendengar ke-sepuluh. Biar apa pun kisahnya, yang kita tahu, memang ada golongan dan peminat yang suka mengetahui dan membaca kisah seram ini. Jadi, saya sediakan senarai lebuhraya berhantu paling popular di Malaysia untuk kamu semua, bertenang, dan bersandar pada kerusi kamu.

1. Lebuhraya PLUS, kawasan Pedas/Linggi – Simpang Ampat

Lebuhraya yang di katakan misteri ini adalah bermula dari persimpangan susur keluar Pedas/Linggi hingga ke persimpangan susur keluar Simpang Ampat, Melaka. Terdapat beberapa kes yang dilaporkan mangsa mengenai kejadian terserempak dengan makhluk halus atau lembaga yang melintas di lebuhraya ini, atau lelaki tua yang berbasikal, dan kebanyakkan kisahnya berlaku di sekitar waktu 1 – 4 pagi.
Antara kisah mangsa yang pernah mengalami pengalaman seram di lebuhraya ini adalah, seorang lelaki yang membuat perjalanan dari Melaka ke Bangi, dengan menaiki motosikal, beliau meredah malam melalui lebuhraya tersebut pada sekitar jam 2 pagi. Kira-kira di KM 230, terdapat sebuah kereta Iswara Sedan putih di hadapannya yang bergerak begitu perlahan. Dengan perasaan sedikit gementar, beliau memotong kenderaan di hadapannya dan terbau sesuatu yang begitu busuk. Ketika memotong Iswara putih itu, beliau sempat menjeling ke arah kereta tersebut dan apa yang dilihatnya, adalah sebuah kereta yang telah remuk teruk [total loss] bergerak tanpa pemandu.

2. Lebuhraya Butterworth – Kulim , KM 20.6

Apabila kerap berlaku kemalangan maut di tempat yang sama maka akan tersebar cerita seram dan misteri di lebuhraya di KM 20.6 ini yang menyediakan laluan ekspres Butterworth – Kulim. Adakah ianya adalah di sebabkan oleh kecuaian pemandu dan penunggang motosikal itu sendiri, atau pun sememangnya tempat itu berpuaka? Ramai saksi [mangsa kemalangan] tampil membuat laporan polis turut menyatakan mereka turut melihat samada makhluk berupa manusia separuh badan atau manusia tanpa kepala melintas di hadapan.
Menurut seorang pengamal perubatan tradisional, Rosli Ahmad, kemalangan maut yang melibatkan motosikal adalah kerana kaki mereka atau motosikal mereka telah ditarik oleh makhluk halus separuh badan itu. Beliau turut menyatakan bahawa kawasan tersebut adalah merupakan hutan tebal sebelum di jadikan lebuhraya, maka tidak hairanlah ‘mereka’ ini mengganggu kerana tempat tinggal mereka telah diceroboh.

3. Lebuhraya Kuantan – Gambang

Kisah seram di lebuhraya ini adalah yang paling seram kerana selain daripada pengalaman mangsa, seorang penunda kereta, Abdul Mubin Mohamad, yang berada di lokasi kemalangan berjaya merakam imej hantu secara tidak sengaja pada tahun 2011. Beliau mendakwa dan yakin ketika gambar diambil, tiada sesiapa yang berada di hadapannya, dan tempat mereka berdiri pula adalah kawasan semak serta berhampiran dengan hutan, selain keadaan yang gelap gelita. Apa yang lebih mengejutkannya adalah terdapat tiga entiti yang seakan sedang memandangnya, dua berpakaian merah dan seorang memakai blouse putih, tetapi wajah mereka yang sukar untuk dilihat di dalam gambar tersebut meyakinkannya lagi bahawa entiti tersebut bukanlah manusia.

4. Lebuhraya Gurun

Pada 13 Mei 2009, seorang guru bahasa Arab, Mohd Fitri Mohamad dan keluarga, telah mengalami satu pengalaman seram ketika dalam perjalanan pulang dari bercuti di Cameron Highland dan Kuala Lumpur. Beliau yang bersama isterinya berasa hairan apabila anak saudaranya yang berumur 2 tahun, secara tiba-tiba menangis dan tidak mahu berhenti walaupun dipujuk isterinya, selepas memasuki kawasan Gurun di Lebuhraya Plus. Kereta yang dipandunya juga terasa amat berat seakan 10 orang di dalamnya.
Mereka berhenti di hentian R&R Gurun untuk berehat sekejap, dan sempat mengambil beberapa keping isterinya sebagai kenangan, tetapi terdapat seorang wanita misteri berbaju kebaya merah turut “menumpang” di dalam gambar tersebut. Entiti berkenaan dikatakan sering mengganggu pengguna lebuhraya di situ, dan terdapat saksi dan mangsa kemalangan melaporkan mereka terbabas kerana mengelak “wanita kebaya merah” yang melintas di lebuhraya tersebut.

5. Lebuhraya Karak

Lebuhraya yang menghubungkan Kuala Lumpur ke bandar Karak, Pahang, merupakan antara lebuhraya yang popular dengan cerita menakutkan. Dibuka pada tahun 1977, lebuhraya ini sudah menyaksikan begitu banyak kemalangan maut, samada kerana kecuaian pemandu atau pun disebabkan diganggu dengan makhluk halus yang mengalih tumpuan pemanduan mereka.
Antara lebuhraya yang paling banyak versi hantunya, salah satu yang popular adalah kisah kereta Volkswagen berwarna kuning yang muncul secara tiba-tiba dihadapan kamu dengan pemanduan yang perlahan, dan apabila kamu memintas Volkswagen tersebut, kereta misteri itu akan berada dihadapan kamu kembali. Tidak percaya? Cubalah jika kamu bertemu dengan Volkswagen Kuning tersebut di lebuhraya Karak!

6. Lebuhraya PLUS kawasan Tangkak – Muar

Pada tahun 2012, sebuah persatuan bangsa Cina di daerah Tangkak/Muar telah mendapat kebenaran dari pihak berwajib untuk menutup laluan lebuhraya di kedua-dua arah bagi menjalankan satu ritual “membersihkan” kawasan tersebut dari gangguan mahklus halus dari terus mengganggu pengguna lebuhraya terbabit, dan beberapa wartawan dari syarikat penerbitan tempatan juga turut dijemput bagi melaporkan “peristiwa” berkenaan. Dengan kerjasama dari pihak Polis, mereka mula menutup laluan terbabit pada jam 11 malam, bersesuaian dengan masa untuk hantu bergerak secara aktif dan akan memudahkan “kerja-kerja” mereka. Ritual “pembersihan” itu turut melibatkan dua lagi bangsa pengamal perubatan, iaitu wakil dari Melayu dan India, masing-masing dikatakan mampu untuk berinteraksi dengan makhlus halus.
Menurut laporan seorang saksi yang turut berada di lokasi, segala perancangan mereka untuk menjadikan laluan tersebut “bebas” dari sebarang kekacauan jin dan hantu, tidak berjalan dengan sempurna, senang kata, tidak berjaya. Salah seorang anggota polis yang bertugas telah meninggal dunia, akibat dirasuk oleh makhluk halus terbabit, dan bomoh berbangsa Melayu yang membantu polis itu turut mati bersama. Sejurus kejadian tersebut, mereka semua memutuskan untuk beredar dari situ dengan secepat mungkin bagi mengelak dari kemungkinan perkara yang lebih buruk akan berlaku.




0 comments:

Post a Comment